Saturday, August 30, 2014

Melayu pascaliberalisasi ekonomi

GENAP 10 tahun, Malaysia sekali lagi terpaksa menempuh krisis ekonomi dunia. Krisis terakhir sekitar 1997-1999 yang dirancang oleh penyangak mata wang, George Soros. Tindakannya telah mengakibatkan nilai ringgit menyusut kepada RM4.50 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (secara purata 1996: AS$1 > RM2.50). Malaysia yang ketika itu di bawah era Tun Dr. Mahathir Mohamad, terpaksa melaksanakan dasar kawalan modal (capital control) yang amat ketat.

Namun kini, di tengah-tengah kemelut ekonomi paling dahsyat sejak Perang Dunia Kedua, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengumumkan liberalisasi ekonomi - suatu pendekatan berlawanan dengan strategi Tun Dr. Mahathir bagi mempertahankan ekonomi Malaysia.

Selayang pandang terhadap liberalisasi ekonomi, ia seolah-olah merugikan orang Melayu kerana syarat kuota 30 peratus pegangan saham bumiputera dalam 27 sektor ekonomi kini dihapuskan.

Sebenarnya, Malaysia sudah berada dalam situasi 'keterpaksaan' dan sedikit 'terkebelakang' dalam mengotakan janji dengan negara-negara serantau untuk menarik pelaburan asing langsung (FDI) ke ASEAN melalui liberalisasi ekonomi.

Data-data ekonomi terperinci juga menunjukkan bahawa Singapura dan Thailand yang melaksanakan liberalisasi ekonomi jauh lebih awal dari Malaysia berjaya mempamerkan tahap pemulihan ekonomi yang tinggi. Tetapi, di manakah Melayu pascaliberalisasi ekonomi ini?

Selain daripada kekuatan Melayu melalui institusi pelaburan gergasi seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tabung Haji, sebenarnya Melayu hari ini bertaburan dalam pelbagai sektor ekonomi sehingga susah untuk melihat dominasi dalam sesebuah industri secara spesifik.

Kalau dahulu di bawah era Tun Dr. Mahathir-Tun Daim Zainuddin melalui struktur ekonomi 'payung', kita dapat melihat antara lain enam ikon usahawan Melayu terkenal iaitu Tan Sri Wan Azmi (L&G), Tan Sri Azman Hashim (Arab Malaysian Group), Tan Sri Tajuddin Ramli (MAS), Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad (DRB-Hicom), Tan Sri Rashid Hussain (RHB Group) dan Tan Sri Halim Saad (Renong) yang bukan hanya jaguh dalam industri masing-masing di Malaysia tetapi juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Malangnya hari ini, hanya beberapa ikon usahawan Melayu yang dilahirkan. Komuniti kecil ini tidak semantap ikon terdahulu kerana kekuatan mereka lebih tertumpu di dalam negara dan banyak bergantung harap kepada kerajaan.

Apa yang ingin saya hurai mengenai senario di atas ialah Melayu tidak semestinya perlu mendominasi sesebuah industri secara spesifik. Dominasi ekonomi Melayu secara spesifik juga menjadikan kelompok usahawan Melayu seperti sitting-duck (sekawan itik) yang mudah dicantas oleh pesaing-pesaing bukan Melayu mahupun sebangsa dengannya.

Kita hari ini juga perlu sedar bahawa sebilangan besar Melayu bukanlah daripada keluarga yang dapat menyediakan modal untuk berniaga seperti kaum-kaum lain. Saya lahir dalam keluarga yang pernah hidup di bawah garis kemiskinan, berasa amat bersyukur kepada Allah SWT kerana menjadi seorang profesional yang berjaya dengan hanya bermodalkan tulang empat kerat dan akal yang diisi dengan ilmu pengetahuan tajaan kerajaan Malaysia.

Atas alasan supaya Melayu tidak tertumpu hanya pada sektor ekonomi tertentu dan supaya tidak terus alpa dengan kedudukan keluarga yang tidak bermodal untuk berniaga, usaha bagi melambakkan tenaga profesional dan vokasional perlu ditingkatkan.

Tiga Profesional Setiap Keluarga

Jika Tun Dr. Mahathir pernah melaungkan saranan "Ke arah 70 juta penduduk" bagi menampung strategi pembangunan negara, saya pula ingin menyarankan agar kerajaan pimpinan Najib-Muhyiddin menumpukan perhatian untuk melahirkan tiga profesional bagi setiap keluarga Melayu.

Ini kerana hari ini, secara purata, seseorang profesional mampu mengumpul aset sejumlah RM1 juta apabila mencecah umur 40 tahun. Mengikut penganalisisan kami, jika enam ikon Melayu yang dilahirkan sewaktu era 
Tun Dr. Mahathir-Tun Daim mempunyai aset berjumlah RM1 bilion setiap seorang, jumlah aset terkumpul adalah RM6 bilion.

Jumlah aset sebanyak RM6 bilion ini sebenarnya memerlukan hanya 6,000 orang profesional dari puluhan ribuan siswazah yang keluar dari lebih 100 IPTA dan IPTS setiap tahun. Yang pasti, di kalangan 6,000 profesional tersebut akan lahir beberapa individu yang menyerlah sebagai ikon usahawan Melayu terkenal.

Dengan wujudnya senario tersebut, lambakan profesional Melayu dalam pelbagai sektor ekonomi secara tidak langsung mengurangkan risiko dicantas; merapatkan jumlah golongan kaya dan miskin; dan meneruskan budaya ekonomi 'payung' yang membimbing ribuan generasi pelapis ekonomi Melayu akan datang.

Kesimpulannya, Melayu pascaliberalisasi ekonomi perlu merebut pendedahan pengalaman dalam 27 sektor ekonomi yang dipegang oleh pelabur asing.

Pendedahan yang baik sebenarnya boleh diolah menjadi senjata untuk bersaing dalam penyelidikan, penghasilan produk, pembinaan dan penyediaan perkhidmatan yang berkualiti menjangkaui piawaian antarabangsa.

Akhirnya, Melayu bukan hanya mendominasi pelbagai sektor ekonomi tetapi menjadi jaguh di peringkat dunia dan tidak lagi bergantung kepada kerajaan.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)



Artikel Penuh: 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Membudayakan 'Google' di kalangan generasi 'Y'

PENGGUNAAN teknologi yang salah akan mengundang kelahiran generasi masa hadapan yang hanya berminat dengan hiburan semata-mata dan langsung tidak menitik beratkan pembudayaan ilmu.
Sebelum luka menjadi nanah, sebelum nasi menjadi bubur adalah suatu tanggungjawab generasi X selaku generasi semasa untuk memberi input positif kepada generasi Y melalui pelbagai dorongan sihat agar mereka dapat membudayakan penggunaan teknologi untuk menggali ilmu pengetahuan.
Sesungguhnya, pembangunan dunia semakin pesat dan arus kemodenan memungkinkan teknologi baru dicipta hampir setiap ketika sehinggakan ada kalanya alam maya mula terasa sempit.
Membicarakan mengenai dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sudah pasti pemikiran kumpulan-kumpulan perintis 'dunia tanpa sempadan' yang mencetuskan kelahiran world wide web (www) pada era akhir 1980-an dan awal 1990-an barang kali tidak menjangka pencapaian luar biasa dunia ICT pada hari ini. Setelah hampir tiga dekad berlalu, dunia teknologi kini ternyata sudah mencapai suatu dimensi baru.
Daripada hanya telefon ATUR, sambungan internet kaedah dial up, permainan konsol dan laman-laman web yang statik lagi membosankan, industri ICT berevolusi kepada telefon bimbit yang mempunyai kapasiti melayari internet, sambungan internet jalur lebar, permainan konsol 3D dan kini laman web multi fungsi (Web 2.0) seperti paparan berita terkini, forum, blog, perkumpulan komuniti atas talian dan komunikasi video.
Bagi kumpulan generasi Y yang merangkumi kumpulan anak muda 18 tahun ke bawah, jargon seperti Yahoo Messenger, Blogspot, Twitter, MySpace, Spacebook, PS3 dan XBox barang kali bukan lagi sesuatu yang asing.
Tak keterlaluan jika dikatakan, elemen-elemen sebegini bagai 'santapan' harian anak-anak pasca abad ke-21. Melihat dari suatu sudut negatifnya, kita khuatir jika fenomena teknologi yang bertali arus ini menjadi tanpa kawalan lantaran melalaikan dan akhirnya, memudarat anak bangsa kita.
Manfaatkan Teknologi Ke arah Kebaikan
Pengalaman saya semasa mengendalikan program motivasi PMR di salah sebuah sekolah menengah di Putrajaya pada Khamis, 2 Julai lalu seakan-akan mengiakan keresahan saya.
Daripada penyelidikan dan pemantauan, kami dapati hampir 90 peratus pelajar memiliki telefon mudah alih sendiri. Rata-ratanya pula cenderung ke arah perisian permainan PSP dan PS3 terkini serta 'ketagihan' aplikasi Web 2.0 seperti Facebook dan Friendster.
Statistik pula menunjukkan keputusan peperiksaan penggal kedua menjunam berbanding dengan keputusan peperiksaan penggal sebelumnya. Ia cuma bagi sekumpulan pelajar dari sebuah sekolah sahaja. Bagaimana agaknya jika diambil kira sekolah-sekolah yang lain?
Justeru, saya berharap langkah Kementerian Pelajaran menggubal sistem pembelajaran negara tidak akan melupakan saranan agar perkembangan teknologi terkini diterap penggunaannya kepada pelajar-pelajar dalam cara yang positif iaitu mengundang kepada pemantapan dan pembudayaan ilmu.
Teknologi sekiranya sekadar diaplikasikan untuk berhibur, tentulah tidak berfaedah. Sepatutnya, budaya menggunakan internet bagi tujuan meng'google' ilmu pengetahuan dan maklumat terkini perlu diutamakan.
Dengan jutaan laman web membanjiri dunia maya, teknologi perlu dipergunakan semaksimum mungkin untuk kebaikan, menggali ilmu dan informasi terkini di serata dunia.
Dalam hal ini, kemampuan bahasa Inggeris pelajar juga dapat ditingkatkan. Walaupun pembelajaran bahasa Inggeris melalui penggunaan internet adalah kaedah pembelajaran yang dikira 'santai', namun ia tidak boleh dianggap sebagai rutin 'kebiasaan' sehingga menjadikan generasi Y 'ketagih' dan sanggup memberontak jika keinginan mereka untuk berinternet tidak diturutkan.
Seperkara lagi yang tidak boleh diabaikan adalah apabila internet disalah gunakan untuk meng-Google maklumat yang sesat lagi terpesong.
Justeru, pemantauan ibu bapa dituntut untuk mendorong penggunaan Internet secara betul dan tepat.
Perluaskan Jalur Lebar dan Wujudkan 'Sedikit Sempadan'
Kerajaan, di sebalik istilah dunia tanpa sempadan, mungkin boleh menilai kaedah untuk mewujudkan 'sedikit sempadan' dalam sistem perkhidmatan jalur lebar negara supaya generasi Y tidak mudah terdedah kepada perkongsian maklumat yang salah.
Natijah sebenar untuk melahirkan generasi kaya ilmu pengetahuan mungkin tidak akan dapat direalisasikan jika teknologi tidak sampai ke semua peringkat. Masalah kekangan kewangan ternyata masih wujud dan terus menghalang anak-anak luar bandar mengecapi perkembangan informasi terkini berbanding teman-teman di bandar.
Bagi yang mampu memiliki perkhidmatan jalur lebar mudah alih seperti perkhidmatan Celcom dan Maxis Broadband ada kalanya berhadapan dengan keterbatasan capaian perhubungan kerana tiada pencawang talian bukan sahaja di luar bandar malahan juga di sesetengah kawasan di dalam bandar.
Untuk mengatasi isu ini, kerajaan perlu menimbangkan secara serius cadangan yang sudah pun dilaksanakan di beberapa negara asing seperti Amerika Syarikat dan Eropah yang menggunakan laluan elektrik sebagai sumber capaian internet jalur lebar.
Sudah pasti kos penggunaan jalur lebar melalui laluan elektrik ini tidak perlu terlalu tinggi agar masyarakat luar bandar yang kurang berkemampuan tidak ketinggalan.
Insya-Allah, dengan sedikit pemantauan dan galakan sihat, adalah tidak mustahil untuk kita mengecapi cita-cita murni bgi melahirkan generasi baru yang membudayakan ilmu melalui teknologi ICT.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm&arc=hive#ixzz3Brdv2htr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Keputusan profesional penuh justifikasi

KEPUTUSAN yang ditunggu-tunggu penuh debaran oleh rakyat Malaysia tiba juga Rabu lepas. Akhirnya, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan muktamad kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Ada yang gembira, ada yang tak puas hati dan ada juga yang masih mengambil sikap tunggu dan lihat. Paling menarik barangkali, di sebalik gambaran 'penolakan seratus peratus rakyat terhadap dasar PPSMI' sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang, ada juga beberapa bancian bebas yang dilaksanakan oleh beberapa blog popular membuktikan sebaliknya.

Hakikatnya, jika keputusan bancian anjuran blog bebas masih memihak kepada cadangan supaya PPSMI diteruskan sekali pun, keputusan tersebut masih boleh dipersoalkan.

Menurut perangkaan 2008 yang dikumpulkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pengguna Internet berdaftar di rumah adalah 85 peratus tertumpu di kawasan bandar dan hanya 15 peratus di kawasan luar bandar.

Statistik ini jelas menunjukkan bahawa taburan pengguna Internet yang diambil sebagai 'sampel' bancian tersebut hanya tertumpu kepada kelompok rakyat di dalam bandar yang aktif berinternet, manakala pandangan dan undian keseluruhan rakyat luar bandar belum diambil kira dan pasti dipinggirkan.

Secara kesimpulannya, tidak kira sama ada undi pelbagai bancian di atas benar-benar boleh dipercayai atau tidak, keputusan akhir ke atas dasar PPSMI ternyata ada 'peminat' yang tersendiri!

Kerajaan bukanlah tidak mencuba untuk meneruskan dasar PPSMI. Bagaimanapun, hasil pelbagai kajian ilmiah bebas seawal 2004 yang dianjurkan oleh pelbagai institusi dan organisasi berkaitan serta data statistik yang dikumpulkan oleh Kementerian Pelajaran mengenai keputusan pelajar dan kemampuan guru terhadap 

PPSMI tidak condong kepada penerusan dasar PPSMI. Ini sekali gus 'memaksa' kerajaan bertekad kepada keputusan pemansuhan.

Menyedari hasrat dan falsafah dasar PPSMI, kerajaan di peringkat awal tidak pernah putus asa untuk meneruskan dasar tersebut. Buktinya adalah melalui pelaburan ratusan juta ringgit ke atas usaha memperkasakan pengetahuan serta kebolehan guru dalam kedua-dua subjek berkenaan melalui pelbagai kursus dan latihan. Penggunaan teknik-teknik pengajaran yang terbaik juga telah diguna pakai. Namun, tiada perubahan ketara dapat dilihat.

Pelajar Melayu akan terus kecundang, keyakinan diri terbantut dan terus menganggur
Statistik Kementerian Pelajaran juga menunjukkan bahawa guru-guru PPSMI tidak mampu mengajar Sains dan Matematik seratus peratus dalam bahasa Inggeris malah dicampuradukkan dengan bahasa Melayu semasa mengajar dua subjek tersebut. Senario ini tidak berlaku di sekolah-sekolah kebangsaan Cina dan Tamil kerana 

kedua-dua subjek tersebut diajar dalam bahasa ibunda masing-masing. Yang menjadi mangsa adalah para pelajar Melayu yang semakin keliru, memperolehi keputusan peperiksaan yang terus menjunam sehingga mengakibatkan keyakinan diri terbantut. Kurang keyakinan diri inilah punca sebenar mengapa pelajar 

Melayu terus menganggur.

Untuk dikatakan dasar PPSMI telah gagal rasanya tidak juga. Lebih tepat barang kali kalau dikatakan ia kurang berjaya mencapai sasaran yang diingini. Bagi saya sendiri, PPSMI bukanlah tidak baik. Hasratnya, murni.

Namun demikian, menurut statistik sahih kajian Kementerian Pelajaran jelas membuktikan guru-guru belum bersedia sepenuhnya dan sebilangan pelajar luar bandar ada kekangan. Jika PPSMI diteruskan juga, kita menghadapi kekesalan berpanjangan kerana sejumlah besar anak-anak kampung yang cerdik tetapi ada kekangan pemahaman bahasa Inggeris akan menjadi korban nanti. Sanggupkah kita?

Syukurlah hikmah di sebalik pelaksanaan dasar kontroversi ini sekurang-kurangnya telah meningkatkan kesedaran akan pentingnya penguasaan bahasa Inggeris. Inilah natijah dan nawaitu asal PPSMI sewaktu perencanaannya diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu.

Melalui transformasi sistem pendidikan Malaysia yang dirancang oleh Kementerian Pelajaran ketika ini, ia akan tetap dapat memurnikan hasrat Tun Dr. Mahathir itu dengan kaedah memperkasakan pembelajaran bahasa Inggeris melalui 12 langkah yang diutarakan oleh Muhyiddin. Saya amat setuju agar bahasa Inggeris sepatutnya diperkasakan dahulu sebelum subjek Matematik dan Sains diajar dalam bahasa tersebut.

Saya berharap sangat jika silibus baru disusun supaya pelbagai jargon teknologi dan sains dapat diterapkan dalam pembelajaran bahasa Inggeris. Begitu juga dengan subjek Geografi hari ini yang hanya fokus terhadap ilmu alam Malaysia sahaja.

Saya yakin para pelajar akan lebih tertarik jika mereka dihidangkan dengan Geografi dunia sebagai salah satu silibus dalam subjek bahasa Inggeris. Dengan silibus tersebut, ia bukan sahaja seiring dengan pendekatan saluran National Geographic dan Discovery tetapi juga memupuk pemikiran generasi muda Malaysia untuk berbahasa Inggeris apabila mereka menjelajahi dunia suatu hari nanti.

Dalam perihal memartabatkan bahasa Melayu, iltizam Kementerian Pelajaran memperkasakan pembelajaran bahasa Melayu seharusnya telah menjawab tuduhan beberapa pihak yang mendakwa kerajaan tidak sensitif dengan nasib bahasa kebangsaan. Apatah lagi sekarang, dalam modul transformasi pendidikan ini, Muhyiddin telah mengangkat semula martabat bahasa Melayu menjadi bahasa ilmiah untuk memacu kemajuan ketamadunan Melayu masa hadapan.

Suka saya katakan, keputusan kerajaan sudah pun win-win (menang-menang) bagi semua pihak. Objektif murni PPSMI bakal diusahakan secara terbaik sementara bahasa Melayu pula akan terus dimartabatkan.
Sekalipun usaha menjurus kepada keputusan terhadap PPSMI telah dibuat, usaha untuk memperjelaskan falsafah di belakang transformasi pelajaran perlu dibuat secara crystal clear (sejelas mungkin).

Rakyat hari ini semakin peka terhadap hal ehwal semasa dan sentiasa mahukan penjelasan konkrit. Ingatlah, pihak pembangkang pula tidak pernah lelah mencari 'peluru' untuk mengelirukan rakyat daripada fakta sebenar.

Setiap keputusan perlukan penilaian profesional, penjelasan dan justifikasi rasional. Kalau ia demi kebaikan, rakyat tentu boleh menerimanya biarpun mungkin mengambil sedikit masa.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)




© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sindrom taksub, fanatisme orang Melayu

MASIH ingatkah kisah kumpulan Al-Arqam yang pernah menggemparkan negara sekitar awal 1990-an dahulu? Kalau nak diikutkan, asal ceritanya bermula dengan seorang ustaz biasa yang giat berdakwah.
Saban hari, fahaman itu berkembang membentuk suatu kumpulan agama yang besar dan memiliki entiti perniagaan dalam pelbagai bidang.
Akhirnya pengasas kumpulan tersebut, Ashaari Muhammad langsung lupa daratan, tenggelam dalam kekuasaan dan mula menyerong daripada akidah Islamiah sebenar. Ashaari mula menjadi idola puluh ribuan pengikutnya dan dianggap wali yang cukup tinggi tarafnya.
Tulisan hari ini sebenarnya bukanlah hendak merungkai isu Al-Arqam. Tetapi yang mahu diperhalusi dan dibicarakan ialah sentimen dan elemen ‘fiil’ Melayu bila mana ia terlalu taksub dalam satu-satu hal.
Dalam konteks Al-Arqam ini misalannya, ketaksuban yang tak kena gaya, tidak berpandukan ilmu dan asas Islam yang hakiki menyebabkan penyelewengan berlaku.
Akhirnya pemimpin pula didewa-dewakan, dipuja dan dihormati secara melampau. Kumpulan yang didokong pula bagai dapat merealisasikan segala-gala hajat dan diumpamakan tiada cacat-cela.
Taksub Berpolitik
Kalau dikaitkan dengan suasana berpolitik orang Melayu sendiri, macam itu jugalah perangai ketaksubannya. Sesetengahnya, bila sudah terlampau fanatik dan percaya dengan parti yang disokong, rasional daripada parti lawan ditolak mentah-mentah.
Sifat, “aku saja betul” dan “kau tetap salah” mewarnai semangat dan kepercayaan politik. Tuduh-menuduh menjadi kebiasaan dengan isu halal-haram dan betul-salah sudah bukan lagi asas pertimbangan. Asalkan yang disokong menang!
Lebih parah sebenarnya, bila adunan politik itu disadur pula dengan kepentingan Islam. Seperti yang pernah dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, kelemahan sesetengah orang Islam ialah mereka begitu cepat terpengaruh dengan apa sahaja yang dibuat atas nama Islam; dan orang Melayu adalah contohnya paling tepat yang mudah tertarik dalam hal-hal berunsur keagamaan.
Yang jadi mangsa adalah pengikut yang mempunyai kefahaman agama setakat ‘cukup-cukup makan’ sahaja. Gara-gara kecetekan ilmu, mereka ini sering hilang punca dan selalu berdasarkan sentimen perasaan dalam pertimbangan antara hak dan yang batil serta bersikap tertutup dalam menerima buah fikiran yang dilihat berasal daripada kelompok lain.
Bila asas agama digunakan untuk membuktikan betul-salah sesuatu perkara, soal dosa pahala, kafir dan syurga-neraka pun menjadi isu yang terbeban untuk dibicarakan dan dihukum oleh sang pengikut. Inilah yang malangnya; menghukum dan membuat kesimpulan tanpa ilmu di dada!
Perdebatan Mengarut dan Tidak Berfaedah
Isu di sini sebenarnya bukanlah bertujuan untuk memisahkan entiti agama daripada politik. Agama Islam sememangnya syumul atau ‘complete’. Namun, asas agama tentulah wajib dijadikan pegangan setiap insan politik yang bernama ‘Melayu’ dan berjatidirikan ‘Islam’.
Tetapi dalam suasana hiruk-pikuk dan kecelaruan kefahaman Islam yang setakat ‘separuh masak’ saja di kalangan ramai Muslimin di Malaysia, perlu ada boundary tertentu agar agama tidak sampai terseleweng dan disalah tafsir.
Oleh kerana terlalu taksub kepada pemimpin atau sesebuah pertubuhan, hari ini Islam dilihat lebih cenderung ke arah menilai tahap keimanan, mencari perbezaan fahaman imam yang diikuti dan menilai tahap roh perjuangan sehingga menjadikan umat Islam berpecah-belah.
Kita sepatutnya mencari persamaan dan elakkan perbezaan. Begitu banyak perdebatan dan perbalahan yang sudah sampai ke tahap mengarut dan tidak berfaedah.
Justeru itulah, Islam memerangi kejahilan ilmu kerana akibat buruknya mampu melahirkan manusia bersifat taksub membabi-buta. Ketaksuban juga akan memecah-belahkan umat Islam bahkan menjahanamkan hubungan silaturrahim sesama Muslim.
Paling buruk, apabila ia mula menganggu-gugat keamanan dan kestabilan sesebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia. Orang-orang bukan Islam akan merasa salah faham dan segala usaha untuk melaksanakan pembangunan Islam juga turut terbantut.
Kembalilah kepada asas al-Quran yang menyarankan kepentingan ilmu supaya kita tidak terperangkap dalam ketaksuban fanatisme dan membuta-tuli yang menghancurkan diri sendiri, agama, bangsa dan negara tercinta.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan
Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm&arc=hive#ixzz3BrcdTLC2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, June 4, 2009

Fikir Langkau '10': Pandangan GPMS

Fikir Langkau '10'Kita kena mengakui satu perkara, bahawa pembangunan minda, pemikiran dan jatidiri di kalangan anak muda kita - mesti disesuaikan dengan zaman mereka. Kita tidak seharusnya mempersiap mereka untuk persaingan 'abad, dekad mahupun dasawarsa' kita dahulu. Memahami realiti global, soal pendidikan dan potensi sudah menjadi perkara yang sangat teras. Gagal merencana potensi yang kukuh di kalangan warga penerus, bererti kita menempah jalan yang susah dalam menempuh keluk perubahan.Semua ini membuatkan penulis terfikir tentang kepentingan 'pendidikan' untuk menjadi asas kegemilangan bangsa di masa akan datang. Sesuai dengan matlamat mencapai negara maju pada tahun 2020, 'asas pendidikan' menjadi sangat utama dan wajar diangkat sebagai prioriti. Kita tidak boleh lagi terus bergelumang dengan usaha 'perubahan kecil' (piecemeal changes) tetapi lebih tertumpu dengan strategi membina warga pelajar yang berkemampuan dan berkemahiran tinggi di peringkat yang lebih besar. Fokus dan arah tumpuan semua pihak mestilah menjurus bukan sahaja kepada pembinaan infra; tetapi juga persoalan 'pembinaan kemahiran' (capability development) dan 'strategi manusia' (people strategy).Penulis dihubungi oleh seorang rakan berstatus 'ustaz' dari pantai timur yang menyatakan kerisauan dengan tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)mengehadkan 10 subjek untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dengan semua anaknya yang berada di aliran agama, rakan penulis sekadar menyatakan apakah ini memberi erti anaknya tidak boleh mengambil lebih daripada 10 subjek? Apa jadi dengan subjek agama yang dipelajari anaknya selama ini? Apakah ianya tidak mempunyai nilai langsung kepada pihak kerajaan? Penulis beranggapan persoalan yang dikemukakan rakan penulis tadi adalah soal 'mekanisme' yang perlu diperkemaskan dalam kita menuju denai kemajuan. Bagi kalangan anak-anak yang sudah sedia berada di aliran agama, proses pencarian ilmu (knowledge seeking) tidak perlu berhenti dengan arahan pihak kementerian. Hakikatnya, asas keputusan KPM adalah di atas jalur masalah yang berbeza. Dengan ketidakwujudan 'had' dalam pengambilan subjek, wujud 'kelebihan' tertentu yang diperoleh mereka yang mendapat belasan malahan puluhan 'A'. Ini akhirnya akan mengundang permasalahan dalam penganugerahan biasiswa. Apatah lagi apabila kalangan anak-anak yang bersekolah asrama penuh tidak dibenarkan mengambil subjek yang berlebihan. Apakah belasan/puluhan 'A' ini mampu menjelmakan kecemerlangan sebagai seorang individu dan berjatidiri - adalah soal yang cukup berbeza.Yang tentu, kita mesti berusaha untuk mencari solusi yang bersifat besar dan menyeluruh. Kita memerlukan strategi pembangunan modal insan yang lebih strategik dan bersesuaian dengan 'abad ini'. Sebaiknya, polemik 10 atau lebih daripada 10 - mesti diberikan penelitian yang lebih bersifat futuristik dan mesra rakyat. Hakikatnya, rakyat menginginkan model pendidikan yang mampu bersaing dengan negara yang lebih maju. Justeru, usaha 'pembatasan potensi' bukanlah sesuatu yang sangat diterima baik.Penulis lebih gemar jika kita mengambil contoh daripada Negara rakan yang lebih maju dan sedikit terkehadapan dalam soal pembinaan potensi warga. Negara yang tidak punya pilihan, tetapi melihat soal 'modal insan' sebagai teras yang tidak boleh sama sekali diketepikan. Negara yang tidak punya modal lain - sekaligus menatang potensi warga yang lebih seimbang dan mampu bersaing di pentas antarabangsa. Ini semua memerlukan 'jiwa dan dada yang lapang'; sekaligus melihat apa 'hasil' yang mereka peroleh dengan tindakan, polisi dan dasar yang sedemikian sifatnya.Untuk itu, penulis amat tertarik dengan kewujudan 'Gifted Education Program' (GEP) yang dilaksanakan di Singapura. Rasional daripada pelaksanaan GEP ini adalah sememangnya wujud di kalangan anak-anak kita yang diberikan 'kelebihan' tertentu untuk menerima pendidikan dan kemahiran yang lebih tinggi daripada rakan sebayanya. GEP menerima hakikat bahawa 'potensi' tidak sewajarnya dibatasi oleh 'sistem' yang terlalu ketat dan mendesak. Mereka yang mampu dan terbukti mempunyai wibawa mengurus masa dan kemahiran pendidikan yang lebih tinggi - mesti dibenarkan berada di dalam 'arus pendidikan' yang bersesuaian itu. Keterbatasan potensi tidak harus wujud dalam apa bentuk sekalipun.Ruang dan potensi GEP ini disaksikan sendiri oleh isteri YAB Perdana Menteri yang mengadakan lawatan ke National University of Singapore (NUS) High School of Mathematics and Science dalam lawatan yang berlangsung baru-baru ini. Anak-anak yang masih muda diberikan pendedahan filosofi matematik dan sains yang jauh terkehadapan. Minda, potensi dan bakat anak muda ini diasuh dengan sebegitu rupa, agar mereka inilah yang bakal menjadi kalangan saintis dan pemikir yang boleh kembali menyumbang kepada kemajuan Negara. Asuhan ilmu ini dilakukan dalam usia yang sedemikian muda dan menjurus kepada nilai pendidikan yang terkini dan sesuai dengan tuntutan masa. Selain daripada kewujudan sekolah khas seperti NUS - High School of Mathematics and Science, GEP di Singapura juga ditawarkan di sekolah terpilih. Apa yang dikatakan sebagai School-Based GEP yang ditawarkan secara bersepadu turut dilaksanakan. Malahan secara keseluruhannya, GEP menawarkan beberapa jurusan yang dirasakan penting kepada pembangunan Negara tersebut. Antara pecahan yang terdapat dalam pelaksanaan GEP di Singapura, khusus dalam bidang Sains adalah seperti berikut: Creative and Heuristic Applications of Science (CHAOS), Science Mentorship Programme (SMP), Science Reseach Programme (SRP) dan Science Focus (SF). SMP misalnya dijayakan secara 'bersama' dengan beberapa institusi pengajian tinggi terpilih seperti NUS dan Nanyang Technical University (NTU). Jurusan kemanusiaan (humanities) pula dibahagi kepada beberapa program utama: Creative Arts Programme (CAP), Humanities and Social Science Research Programme (HSSRP) dan Moot Parliament Programme (MP). Dua jurusan lain yang turut ditawarkan adalah Program Inovasi (Innovation Programme) dan Program Kepimpinan (Leadership Programme). Apa yang penulis ingin cadangkan adalah kemungkinan pihak kementerian membina Unit Baru, yang menjurus dan selari dengan matlamat GEP (Singapura) ataupun Gifted and Talented Education (GATE, Australia) dengan seberapa segera. Mahu tidak mahu, kita mesti pantas bergerak sama laju, sama pantas dengan Negara yang memberikan sokongan dan dokongan padu kepada kalangan para pelajar yang punya kemahiran dan kemampuan luar biasa. Usaha memilih dan membina potensi para pelajar ini mesti diberikan fokus dan perhatian utama. Niat dan hasrat program PERMATA yang diusahakan oleh Kerajaan adalah amat baik. Namun, usaha juga mesti dilakukan dalam mengenalpasti bakat di peringkat yang lebih dewasa sedikit.Penulis juga suka mencadangkan agar pihak kerajaan memberikan KPI khusus kepada mereka yang terlibat dalam pembinaan Koridor Baru Pembangunan untuk mengusahakan program ala-GEP ataupun ala-GATE dengan seberapa segera. Jika usaha ini dilakukan, kita sudah mampu mempunyai sekurang-kurangnya 4 atau 5 sekolah model khas yang mengurus mereka yang 'terpilih' dan mempunyai kemampuan luar biasa. Seharusnyalah, ianya tidak tertumpu kepada usaha pembangunan pelajaran sains dan teknologi (S & T) semata-mata; malahan mungkin mampu membina mereka yang sangat jaguh dalam bahasa, kesusasteraan dan alat muzik tradisonal. Langkah pengukuhan jatidiri bangsa jangan sesekali kita pinggirkan.Yang jelas, kita sedang berada di landasan pembangunan pendidikan yang betul dan tepat. Langkah Kerajaan memperkenal pengkhususan terma Sekolah Bistari dan Sekolah Kluster membayangkan bahawa kita sudah berusaha dengan bersungguh ke arah ini. Namun, apa yang masyarakat di bawah mahu lihat dan perhatikan adalah kewujudan segera 'model sekolah' yang dianggap sangat terkehadapan dan fokus dalam pendekatan pendidikan yang ada. Pendemokrasian infrastruktur dan akses yang diperkatakan di dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) itu sendiri telah membayangkan komitmen luar biasa kerajaan dalam bidang pendidikan. Bukan niat kita membina 6 atau 7 sekolah yang hebat; kita mahukan jauh lebih daripada itu!Satu perkara yang paling jelas adalah keperluan kita memperluaskan 'pemegang taruh' (stakeholders) dalam agenda pengukuhan pendidikan. Di Singapura, mahupun Australia, keterlibatan pihak insitusi pengajian tinggi dan pihak swasta dalam membugar semangat keterpilihan dan kecemerlangan ini adalah sangat luar biasa. NUS, Nanyang Technical University menjadi 'teras penting' kepada pemerkasaan GEP di Singapura. Syarikat seperti Rio Tinto menaja dan menjadi teras kepada pelaksanaan GATE di Australia. Apakah suasana kebersamaan ini juga boleh diwujudkan di Malaysia? Pastinya, kita mampu berbuat demikian.Dengan memberikan fokus kepada pelaksanaan program ala GEP atau ala GATE di Koridor Pembangunan Baru adalah pilihan yang terbaik yang mampu difikirkan. Bayangkan jika kita mempunyai 'Malaysian Gifted Education Programme' yang tersendiri di setiap koridor. MGEP-Koridor Utara (NCER), MGEP-Koridor Timur (ECER), MGEP- Iskandar, MGEP-Score (Sarawak) dan MGEP-SDC (Sabah). Setiap daripada program ini juga akan dibantu secara terus oleh beberapa Universiti dan IPT yang berdekatan. Apapun jua, apa yang dicadangkan oleh penulis ini sekadar respons dan maklum balas awal yang diperoleh masyarakat di bawah tentang keputusan mengehadkan subjek di dalam SPM. Sementara ramai yang bersetuju, ramai juga yang tidak. Ada yang menyatakan kerisauan jika ianya mengehadkan sama 'potensi' sebenar yang ada di kalangan pelajar kita. Ada juga di kalangan pihak pembangkang yang menghentam secara semborono tetapi gagal memberikan sebarang cadangan yang lebih rasional dan berjiwa besar. Inilah nilai kepembangkangan yang kita ada - gemar menghentam tetapi tidak mampu membawa 'nilai dan makna' kepada apa yang mereka tidak persetujui. Minda mereka terbelenggu dengan 'fikrah kepembangkangan' yang sempit dan tidak berlapang dada.Dua perkara yang penulis mahu tekankan: pertama, mekanisme sedia ada - khususnya dalam mengamalkan konsep 'terbuka' di dalam pemilihan subjek SPM boleh dipertimbang untuk dikekalkan dengan pra-syarat jelas bahawa pelajar maklum bahawa ianya tidak membawa sebarang kelebihan atau 'merit' di dalam penganugerahan biasiswa. Keduanya, jangan sesekali subjek teras menjadi korban kepada usaha kita mengenakan had kepada pelajar. Penulis sekadar menyampaikan pandangan kelompok yang khuatir ada subjek teras yang dirasakan penting bakal 'dikorbankan' dalam usaha ini.Adalah juga menjadi keperluan untuk kita memandang isu pendidikan dalam 'spektrum' yang lebih luas. Perubahan demi perubahan, yang dibuat atas landasan kecemerlangan sistem pendidikan mestilah dijayakan dengan sepenuh hati. Hakikatnya, jatuh bangun, maju mundur, miskin kaya sesuatu bangsa akan banyak bergantung dengan kesiagaan kita mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan secara yang menyeluruh. REEZAL MERICAN NAINA MERICANPresiden GPMS

Thursday, October 9, 2008

Kembara Bakti Kasih 2008

Tanggal 28 september, 28 ramadhan, ahli-ahli GPMS Sungai Petani, Kubang Pasu, dan Jerai telah mengadakan satu program berbentuk kebajikan kepada Rumah Seri Kenangan, Bedong, Kedah...
Sumbangan disampaikan oleh saudara Mohd Shahfaliqarif Teo Bin Rizal, YDP GPMS Sungai Petani. Sumbangan disampaikan dalam bentuk cek dan hamper. sumbangan-sumbangan ini disampaikan oleh komuniti Melayu di Sungai Petani. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Nurul Asyikin Datuk Bakri kerana kesudian beliau menyampaikan sumbangan hamper-hamper. Manankala Saudara Amran Amir telah memberikan sumbangan yang banyak berbentuk wang tunai kepada program ini.
Kejayaan program ini menjadi titik tolak kepada keakraban diantara Jabatan Kebajikan Masyarakat dan golongan fakir yang menghuni fasilit-fasilit mereka. Jabatan Kebajikan Masyarakat amat berbesar hati sekiranya GPMS Kedah dapat menganjurkan program berbentuk ilmiah kepada anak-anak yatim sekitar negeri kedah.
Berbekalkan kerjasama yang erat antara Penguasa Rumah Seri Kenangan dan Pegawai-pegawai, kami dibawa melawat ke bilik-bilik dan asrama-asram di sini. terdapat 374 orang penghuni di sini. penghuninya terdiri daripada majorit Melayu, kedua Cina, dan India. Penghuni di sini tidak semestinya warga tua. Mereka terdiri dari pelbagai latar belakang. ada juga yang diberikan perlindungan di sini.
Di sini kami memohon agar warga GPMS dapat memberikan sebanyak mungkin sumbangan kepada rumah ini. Ini kerana golongan ini lebih terpinggir dari golongan anak-anak yatim di rumah-rumah kebajikan yang lain. Di sini juga dapat dikenalpasti bahawa warganegara berbangsa Cina lebih banyak menyumbang. Sumbangan boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti beras, lampin orang tua, susu, dan apa jua makan dan barang-barang yang berguna kepada mereka.